Seulas Pinang

Blogger berpendidikan dari SM Izzuddin Shah, Ipoh (1987-1993). Lepasan Universiti al-Azhar Shibin el-Kom, Mesir (1993-1998). Berhasrat berkarya melalui penulisan ringkas, semoga diredhai dan diberkati Allah.

Thursday, November 12, 2009

Sepuluh Sahabat Syaitan


Pada halaman 80 majalah Suara Masjid no. 50, Terbitan Ikatan Masjid Indonesia, terdapat enam baris catatan yang menarik perhatian iaitu mengenai sepuluh kawan syaitan. Menurutnya ini diceritakan oleh syaitan sendiri kepada nabi Muhammad s.a.w. ketika diperintahkan oleh Allah.

Sepuluh macam orang itu ialah :

1. Penguasa yang zalim
2. Hartawan yang kedekut dan takabbur
3. Penguasa yang curang
4. Peminum arak
5. Pembohong
6. Penzina
7. Pemakan harta anak yatim
8. Orang yang melekakan solat
9. Orang yang ingkar membayar zakat
10. Orang yang panjang angan-angannya

Tuesday, November 10, 2009

Reformasi Masyarakat Islam

Rata-rata umat Islam kini merasakan segala corak kemajuan yang berbentuk ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan lain-lain mestilah dirujuk kepada barat. Hasrat dan aspirasi sarjana-sarjana dan pemuka-pemuka barat sudah begitu ketara kini di negara kita.

Umat Islam kini seolah-olah cuai untuk memahami Islam secara mendalam. Kecuaian ini begitu jelas kerana terdapat suara-suara yang lantang berbicara mengenai Islam tetapi bercanggah dari ajaran itu yang sebenarnya. Umat Islam sesama sendiri mengkritik dan mencaci golongan-golongan mereka yang bergiat mengembangkannya dengan berbagai perkataan, helah dan sebagainya.

Masyarakat Islam Melayu boleh dibahagikan kepada empat peringkat. Mereka terdiri daripada :
1. Golongan Raja-raja dan bangsawan
2. Golongan politik dan intelek
3. Golongan pentadbir dan pekerja
4. Golongan rakyat biasa

Kesemua peringkat ini memainkan peranan yang penting dalam pembentukan masyarakat Islam. Dengan adanya peranan tersebut kita dapati satu kordinasi yang baik wujud dalam masyarakat.

Namun kesedaran wujud di kalangan masyarakat Islam agar pemikiran mereka perlu diubah atau direformasikan kepada matlamat hidup yang sebenar. Mereka mesti dikembalikan semula kepada ajaran al-Quran dan Islam yang sebenarnya. Pengembalian ini nanti diharapkan agar dapat menjadikan pimpinan, peraturan dan undang-undang hidup masyarakat benar-benar menuju kepada keredhaan Allah.

Masyarakat melayu Islam yang sedar ini adalah di kalangan peringkat kedua ini – politik dan intelektual. Mereka yang sedar dan insaf inilah yang dikenali sebagai golongan dakwah. Namun penyelewengan boleh juga berlaku di kalangan golongan ini juga.

Pedoman untuk umat Islam adalah jelas dan nyata. Kita mempunyai asas yang kukuh di dalam menyusun kehidupan iaitu al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.. Reformasi kita berasaskan kepada keduanya. Masyarakat melayu kini mempunyai tugas untuk mengembalikan mereka kepada ajaran Allah… bukan untuk berpecah dan berbalah sesama mereka.

Monday, November 9, 2009

Poligami : Langkah Sebelum Terjebak

Antara tujuan yang membolehkan lelaki kahwin lebih dari satu ialah apabila pihak lelaki yang mempunyai nafsu seks yang kuat, boleh melayani nafsu seksnya secara yang dihalalkan oleh syarak. Ini disebabkan ada isteri yang datang haid sehingga tujuh hingga 10 hari, keluar darah nifas yang memakan masa empat puluh hari, mandul atau berpenyakit yang tiada harapan untuk sembuh bagi memuaskan suaminya.

Ada juga poligami disebabkan timbul perasaan belas dari pihak lelaki bila melihat janda yang terdesak hidupnya dan banyak menanggung beban akibat kematian suami atau diceraikan. Jadi, jalan pembelaan terhadap wanita-wanita ini adalah jalan poligami yang dihalalkan oleh syarak.

Melalui poligami juga secara tidak langsung menolong menyelesaikan masalah masyarakat dan sosial bilamana menolong kaum wanita tercebur ke lembah pelacuran, dan lain-lain jenayah yang dikutuk oleh undang-undang negara dan undang-undang Allah apatah lagi dalam masa 10 tahun akan datang.

Walaupun Islam mengharuskan poligami namun, mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu mereka diwajibkan melakukan keadilan di antara isteri-isteri dari segi pemberian nafkah makan minum dan pakaian, tempat kediaman, bilangan hari giliran dan layanan terhadap isteri dan sebagainya.

Dalam hal ini, Sheikh Mohammad Abduh merangka dua syarat dan kalau tidak mematuhinya wajib beristeri satu sahaja. Pertama : Suami melakukan keadilan pada segi lahir, dengan kata lain suami tidak mendiskriminasi antara isteri baru dan lama, cantik dan hodoh, tidak pilih kasih dalam pergaulan dan hak-hak yang diwajibkan atas isteri.

Kedua : Suami mesti berkeupayaan melakukan keadilan pada segi hati dan jiwa, dan inilah perkara yang paling susah untuk dilaksanakan. Ini kerana manusia tidak akan dapat berlaku adil dalam soal kasih sayang terhadap beberapa orang isteri. Dia tidak akan dapat melaksanakan kemahuan hatinya kepada tiap-tiap orang isterinya menepati kecenderungan hatinya.

Umpamanya, jika seorang suami mampu mengadakan makan minum, pakaian dan tempat tinggal untuk seorang isterinya maka sudah tentu perlu menyediakan juga bagi isteri kedua. Kerana itu, kebiasaannya lelaki yang berpoligami terdiri dari mereka yang tinggi taraf hidupnya.
Demikian juga mengenai giliran yang diwajibkan atas seorang suami. Menurut syariat Islam, seorang lelaki yang berkahwin dengan seorang gadis, wajib bermalam di rumah isteri barunya selama tujuh hari tujuh malam dan bagi janda selama tiga hari tiga malam. Kesemua hari-hari ini adalah untuk hari permulaan perkahwinan, sesudah itu barulah diaturkan giliran seadil-adilnya.

Akibat menumpukan kecintaan kepada salah seorang isteri sahaja dan mengabaikan isteri yang lain akan dibalas oleh Allah di hari qiamat nanti dengan badan mereka senget sebelah, ini berdasarkan hadith daripada Rasulullah yang berbunyi :
من كانت له امراتان فمال الى احدهما جاء يوم القيامة وشقيه مائل


Jadi untuk menjaga kepentingan rumahtangga maka ikutilah syarat di atas, malah ditegah sama sekali suami masuk ke rumah salah seorang isteri lain di waktu giliran isteri tertentu kecuali kerana darurat, itupun dibolehkan hanya memberi salam dari luar pintu sahaja dan bertanya keadaannya dengan tidak masuk. Begini corak perkahwinan nabi.

Wednesday, November 4, 2009

Bunga Poligami

Poligami atau kahwin lebih dari satu bukanlah merupakan perkara baru bagi masyarakat Islam, malah ianya telah diamalkan sejak zaman pra sejarah lagi. Yang membezanya tentang jumlah wanita yang dapat dikahwinkan oleh seseorang lelaki. Dalam Islam misalnya seorang lelaki diharuskan berkahwin setakat empat orang sahaja berdasarkan firman Allah dalam surah an-Nisaa’ ayat 3 yang bermaksud :”Maka kahwinlah perempuan-perempuan yang baik untuk kamu berdua, tiga atau empat tetapi kiranya kamu bimbang tidak dapat melakukan keadilan, maka berkahwinlah seorang sahaja”.

Tetapi sebelum Islam yakni di zaman arab jahiliah seorang lelaki dibolehkan berkahwin mengikut sekehendak hatinya atau sepuluh orang isteri. Ini berpandukan dari hadith Nabi Muhammad s.a.w. yang berbunyi :
عن ابن عمر رضى الله عنهما ان غيلان بن سلمة الثقفى اسلم وله عشرة نسوة في الجاهلية فأسلمن معهن فامره النبي صلى الله عليه وسلم أن يتخير اربعامنهن – رواه الترميذي
Bermaksud : Dari Ibnu Umar r.a. bahawa Ghilan bin Salmah as-Syaqafi telah masuk Islam, ketika di zaman jahiliah isterinya seramai 10 orang, kesemua isterinya telah masuk Islam termasuk Ghilan sendiri, lantas ia disuruh oleh Rasulullah sa.w. memilih 4 orang di antara mereka.

Di zaman Nabi Musa a.s., seorang lelaki dibenarkan berkahwin seberapa banyak perempuan yang disukainya, ini disebabkan orang lelaki di zaman itu banyak yang mati dibunuh oleh Raja Firaun dan jumlah mereka itu sedikit. Firman Allah dalam surah al-A’raaf ayat 127 : “Dan berkatalah pula ketua-ketua dari kaum Firaun: "Adakah Engkau (Wahai Firaun) hendak membiarkan Musa dan kaumnya untuk melakukan kerosakan di bumi (Mesir) dan meninggalkanmu serta apa-apa yang dipuja olehmu?" Firaun menjawab: "Kita akan membunuh anak-anak lelaki mereka dan kita biarkan hidup anak-anak perempuan mereka, dan kita tetap Menguasai (menundukkan) mereka".

Di zaman Nabi Isa a.s. pula seorang lelaki hanya dibenarkan berkahwin dengan seorang perempuan sahaja, ini kerana menghormati Maryam yang menjadi ibu kepada Isa a.s. di mana telah melahirkan anaknya dengan tidak atau berantaraan suami.

Kalau dibandingkan syariat Nabi Muhammad dengan Nabi Musa dan Nabi Isa, nyatalah syariat Nabi Nuhammad melalui jalan tengah di antara kedua-dua syariat tersebut. Ini bererti tidak terlalu terbatas dan tidak terlalu berleluasa di mana syariat yang dibawanya membenarkan seorang lelaki mempunyai berbilang isteri yang tidak lebih dari empat orang.

Bagi penganut agama Budhha, tidak boleh berkahwin lebih dari satu (monogram) tetapi kiranya seseorang lelaki ada kesanggupan dan daya tenaga, maka perempuan itu boleh dikahwinkan dan menyimpan sebagai gundik sahaja. Perempuan simpanan sebegini tidak mempunyai hak langsung dalam mewarisi harta dan tiada pertalian dalam kekeluargaan, sedangkan agama kristian pula mengutuk dengan sekeras-kerasnya ke atas penganutnya yang ingin berpoligami.

Dalam hal ini, Islam yang mengharuskan poligami adalah untuk memelihara kebaikan umat Islam baik lelaki maupun perempuan.

Tuesday, November 3, 2009

Pemikiran Moden

Rasionalisme
• Suatu amalan yang cuba menerangkan unsur-unsur ghaibiyyat di dalam agama kepada bentuk yang dapat diterima atau diselaraskan dengan akal.
• Dalam sejarah Islam, gerakan yang meletakkan akal sebagai kuasa tertinggi dipanggil gerakan aliran muktazilah atau falsafah.
• Aliran ini berusaha memberikan suatu kefahaman Islam yang bersesuaian dengan pemikiran manusia.
• Yang merbahaya adalah apabila mereka membuat generalisasi atau pengumuman tanpa terlebih dahulu mengasaskan kepada prinsip Islam yang tulen iaitu al-Quran dan as-Sunnah dengan cenderung menggunakan akal sebagai asas menilai dan bertindak.

Historisme
• Merupakan suatu teori yang menyatakan bahawa fenomena sosial dan budaya adalah ditentukan oleh perkembangan sejarah.
• Fahaman ini memberikan penekanan bahawa perkembangan sejarah sebagai aspek yang asasi bagi kewujudan manusia dan secara berlebih-lebihan memandang kepada tingkahlaku yang lalu sebagai pedoman.
• Teori ini menggunakan peradaban sejarah untuk membuktikan keunggulan kerajaan di zamannya dan memutuskan kehebatan tamadun mereka.

Utilitarianisme / Hedonisme
• Merupakan sebahagian daripada falsafah moral yang dibangunkan di atas kesedaran batin atau suara hati.
• Ia meletakkan kepuasan dan kehendak individu sebagai asas falsafahnya.
• Aliran ini menyatakan kelakuan adalah benar selagimana dapat melahirkan kegembiraan dan kelakuan dianggap salah bilamana mencetuskan kedukaan.
• Penghujung aliran ini ialah kenikmatan dan keseronokan duniawi adalah perkara utama dan menjadi matlamat hidup sebenar.

Protestantisme / Kapitalisme Moden
• Merupakan fahaman yang dianuti oleh aliran agama kristian yang memisahkan diri daripada persatuan roman.
• Gerakan ini bertanggungjawab mengeluarkan Eropah dari kemunduran agama kristian ortodoks dan melahirkan kebangkitan kemajuan kapitalisme.
• Aliran ini menyatakan suatu penyatuan atau sintesis yang unik di antara kesungguhan menompok harta kekayaan dan sikap tidak mahu menggunakannya bagi tujuan keseronokan diri.
• Penompokan harta adalah nilai material dan aktiviti ekonomi manakala sikap tidak menggunakannya adalah nilaian rohani atau suatu aktiviti keagamaan (zuhud).
• Namun begitu, kerana terlalu menekankan kebendaan dan materialistik maka ia menenggelamkan ibadah-ibadah kerohanian yang cuba digarap.

Monday, November 2, 2009

Kata-kata Hikmah

• Syukur adalah pintu limpahan nikmat, kufur adalah pintu laknat Allah.
• Kejayaan hidup tanpa pengorbanan adalah kejayaan penuh kepalsuan.
• Ular itu berbisa tetapi mulut manusia itu lebih berbisa lagi.
• Hisab diri sendiri sebelum menghisab orang lain.
• Hidup ini satu mujahadah, berilmu, beramal dan berbakti satu kepastian.
• Kalau takut kapal dilambung ombak jangan berlabuh di tepi pantai, adakah kapal dijadikan untuk itu?
• Hidup ini penuh ujian, ujian itu datang bukan bererti seseorang itu tewas tetapi menyuruh kita mempertingkatkan iman.
• Bekerja untuk kedaulatan Islam tanpa menghiraukan sindiran manusia adalah lambang keimanan muslim sejati.
• Lebih baik payah nak tidur daripada payah nak bangun tidur.
• Pentingkan perkara yang lebih penting dari perkara yang penting kerana yang lebih penting itu adalah lebih penting dari perkara yang penting.
• Hidup ini hanya sekali sahaja, ciptakanlah sejarah hidup dengan jasa dan bakti, biar kita dikenang sepanjang masa.
• Hari-hari yang berlalu adalah kematian buatmu, tetapi kamu masih boleh muhasabah kerana kamu masih hidup lagi.
• Sehikmah kata-kata tidaklah sehikmah apa yang dapat diperkatakan oleh kata-kata.
• Bakat berkembang dalam kesunyian, karier terbentuk dalam kesibukan.
• Kesilapan tidak pernah sepi dari diri manusia tetapi kemaafan akan menyepikan kesilapan.
• Bersungguh mewarisi kekayaan, kemalasan mewarisi kemiskinan dan pengotor mewarisi penyakit.
• Renagilah arus gelombang kehidupan dengan kesabaran, renungilah rantaian sejarah silam dengan keyakinan.
• Sebesar-besar kemenangan seseorang adalah kemenangan ke atas dirinya.
• Engkau disebut seorang insan bukan lantaran tubuhmu tetapi lantaran jiwamu.
• Sahabat yang jahat ibarat bayang-bayang dekat dengan kita ketika terang tetapi hilang sebaik sahaja di tempat teduh.
• Cita-cita bukanlah jalan yang selalunya datar dan ditaburi bunga, melainkan adakalanya disirami airmata dan juga darah.
• Islam itu bukan pada berpakaian, pakaiannya yang sebenar adalah iman manakala perhiasannya ialah ilmu.
• Berkata yang baik itu mudah, membuat perkara baik itu susah, yang paling susah ialah ikhlas dalam membuat perkara baik.
• Sesiapa yang mengenal diri sendiri, maka dia mengenali Allah.
• Jangan sekali-kali kita berbincang tentang takut dan jangan pula kita sekali-kali takut untuk berbincang.
• Biar putus cinta jangan putus nyawa.
• Jangan sekali-kali merendahkan orang lain, tetapi rendahkan diri anda sendiri.
• Hidup ini umpama perahu di lautan, layarkanlah ia dengan pendayung keimanan, janganlah dikaramkan ia dengan penukul nafsu dan pemahat syaitan.
• Jangan bertindak mengikut emosi kerana implikasi tidak seindah yang diimaginasi.
• Jadikanlah hari ini lebih baik dari hari esok dan jadikanlah hari esok lebih baik dari hari ini.
• Di mana ada keredhaan di situ ada keberkatan.
• Tanpa ukhuwah pincanglah ummah, tanpa ummah lemahlah daulah dan tanpa daulah tiadalah khalifah.
• Jadilah intan bukannya arang kerana sebesar-besar arang dibakari tetapi sekecil-kecil intan tetap disanjungi jua.
• Tinggalkan hari kelmarin, ingatkan hari ini, fikirkan hari esok.
• Kejayaan yang luar biasa boleh didapati oleh orang biasa dengan usaha yang luar biasa.

Selamat berjaya..!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...