Seulas Pinang

Blogger berpendidikan dari SM Izzuddin Shah, Ipoh (1987-1993). Lepasan Universiti al-Azhar Shibin el-Kom, Mesir (1993-1998). Berhasrat berkarya melalui penulisan ringkas, semoga diredhai dan diberkati Allah.

Thursday, May 27, 2010

Haji Mabrur atau Maberuk















Seorang penjual susu bercita-cita ingin menunaikan haji ke Mekah. Dia bekerja dengan rajin dan untungnya disimpan dengan baik sehingga cukuplah wangnya untuk naik haji. Dengan penuh gembira dia pun pergilah ke Mekah tetapi bukan menaiki kapal terbang maupun kapal laut bahkan berjalan kaki ikut darat kerana negerinya tidak beberapa jauh dari tanah suci itu.

Pendek kata, macam-macam yang dinaiknya kadang-kadang naik kuda, naik unta dan kadang-kadang mengikut kafilah yang ditemunya. Pada suatu hari matahari panas terik, penjual susu berjalan seorang diri lalu ternampak sebatang pokok yang rendang. Dia bergegas ke pokok itu yang teduh dan mengalir di tepinya anak sungai yang dalam airnya.

Setelah minum, dia bersolat zohor dan terasa mengantuk lalu melihat ke kiri dan kanan tiada apa-apa, fikirnya tiada manusia dia pun terlena. Penjual susu itu tidak menyedari di atas pokok ada seekor beruk. Ketika dilihatnya ada orang tidur terlentang di bawah pokok, dia turun. Mula-mula di kelilingi orang itu dengan takut. Makin lama beruk itu makin berani, diperiksanya tubuh penjual susu itu.

Tiba-tiba dijumpai pundi duit orang itu lalu ditimang-timangnya dengan penuh keseronokan. Kerana ditimang-timang, duit itu bedering-dering dan tali pengikatnya terbuka. Tiba-tiba penjual susu itu terjaga lalu terus menyeluk sakunya. Pucat lesi mukanya seketika. Terdengar bunyi berdering-dering di atas pokok. Dia mendongak ke atas. Oh.. pundi duitnya berada di tangan beruk. Hendak dipanjat pokok, tentu sia-sia sahaja kerana beruk cukup tangkas di atas pokok. Hendak dibaling, takut duitnya dibawa lari.

Tiada jalan lain lalu penjual susu itu pun menadah tangan kepada beruk itu seperti pengemis. Mulutnya memujuk beruk itu dengan suara yang lemah lembut. Tetapi sayang, dikeluarkannya satu dinar dari pundi itu lalu dilemparkan ke tangan penjual susu itu. Penjual susu itu sangat gembira. Disangkanya berjaya memujuk beruk itu. Rupa-rupanya dinar yang kedua dilemparnya ke sungai berhampiran. Celuppp terdengar air berkocak.

Begitulah terus menerus beruk itu berbuat begitu. Setelah melemparkan satu dinar kepada penjual susu, maka giliran berikutnya dilemparkannya ke dalam sungai. Penjual susu mengeluarkan peluh sejuk dan tidak berbuat apa-apa. Hanya berserah kepada tuhan.

Akhirnya isi pundi duitnya habis. Duit si penjual susu itu betul-betul macam dibahagi dua. Separuh kembali kepada tuannya dan separuh lagi hilang di dalam sungai. Pun begitu penjual susu tetap meneruskan perjalanannya ke Mekah menunaikan haji. Sepanjang perjalanan peristiwa itu terngiyang-ngiyang di fikirannya.

Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Seluruh tubuhnya mengeletar kerana takut. Dia merebahkan badannya ke tanah. Bersujud kepada Allah meminta keampunan.

Dahulu ketika dia menjual susu, setiap hari dia menipu orang. Setengah botol susu asli dicampurnya dengan setengah botol air. Dan rupa-rupanya Allah bermaksud untuk membersihkan duit yang hendak digunakan untuk beribadah menunaikan haji dengan jalan menyisihkan duit haram yang separuhnya ke dalam air. Ya, duit asal dari air, kembali ke air juga. Kata yang empunya cerita maka jadilah penjual susu itu seorang haji MABRUR kerana seekor BERUK.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...