Seulas Pinang

Blogger berpendidikan dari SM Izzuddin Shah, Ipoh (1987-1993). Lepasan Universiti al-Azhar Shibin el-Kom, Mesir (1993-1998). Berhasrat berkarya melalui penulisan ringkas, semoga diredhai dan diberkati Allah.

Monday, July 11, 2011

Adab Melawat Orang Sakit



1. Sebaik-baiknya selepas tiga hari seseorang itu sakit. Hadith daripada Anas bin Malik yang bermaksud : 'Nabi tidak menjenguk orang sakit melainkan setelah sakit tiga hari'.


2. Mendoakan terhadap orang sakit seperti doa ini.


أَََسْاَلُ اللهَ العَظِيمَ رَبَّ العَرشِ العَظِيمِ أَنْ يَشفِيكَ إلاَّ عَافَاهُ اللهُ مِن ذَلكَ المَرَضِ


3. Sekiranya pesakit semakin nazak, hendaklah mengajarnya supaya mengucap dua kalimah syahadah.


4. Memperkatakan yang baik-baik sahaja seperti memintanya bersabar, menasihati agar sentiasa bertaubat dan tidak meninggalkan ibadah kepada Allah.


5. Tidak membuat bising kerana nabi apabila menziarahi orang sakit, baginda memendekkan masa duduk dan mengurangkan bising.


6. Mestilah menjaga batasan aurat.


Monday, May 16, 2011

Azan dan Muazzin

Azan mula disyariatkan selepas hijrah ke Madinah bagi mengumpulkan muslimin menunaikan solat berjamaah. Orang musafir juga disunatkan azan dan iqamat untuk mendirikan solat. Namun laungan azan tidak disunatkan untuk solat yang kedua daripada solat jamak, malah cukup sekadar diiqamatkan sahaja.

Di antara sifat orang yang melaungkan azan ialah :

  • Sunat di kalangan lelaki yang baik suaranya. Bagi perempuan hanya disunatkan iqamat sahaja sekiranya bersolat sesama mereka.
  • Sunat dari kalangan orang merdeka, adil dan cukup umur. Jika kanak-kanak yang melaungkan azan, tetap dikira, begitu juga hamba dan orang fasik. Namun azan orang gila dan kafir tidak sah kerana mereka bukan ahli taklif.
  • Disunatkan ada dua atau tiga orang muazzin untuk sesebuah masjid.

Kelebihan muazzin :
  • Mendapat pahala yang besar, nabi bersabda

لو يعلم الناس ما في النداء والصف الأول ثم لم يجدوا إلا أن يستهموا عليه لاستهموا.

Sekiranya manusia mengetahui kelebihan azan dan saf pertama solat, kemudian tidak memperolehinya kecuali dengan undian, nescaya mereka berebut untuk masuk undian.

  • Muazzin di hari kiamat nanti dijadikan oleh Allah lehernya paling panjang, nabi bersabda

المؤذنون أطول الناس أعناقا يوم القيامة

Muazzin itu merupakan orang yang paling panjang lehernya pada hari kiamat kelak.

  • Muazzin merupakan orang yang amanah dan diampuni dosa mereka, nabi bersabda

الإمام ضامن والمؤذن مؤتمن اللهم أرشد الأئمة واغفر للمؤذنين

Imam adalah penjamin dan muazzin adalah orang yang amanah. Ya Allah berilah petunjuk kepada imam-imam dan ampunilah dosa para muazzin.


Wednesday, May 4, 2011

Keunikan Bersin

Bersin merupakan rahmat dan nikmat untuk mencegah bahaya serta mudharat kepada otak demi menyihatkan anggota. Nabi menyaran kepada sesama muslim agar mendoakan kerahmatan terhadapnya dengan ucapan 'Alhamdulillah'.
Antara adab ketika bersin ialah perlahankan suara, meletakkan tangan atau tisu di atas mulut dan hidung agar tidak terkeluar benda yang menjijikkan dan juga jangan memalingkan muka ke kiri dan kanan agar tidak memudaratkan orang sekitar.
Para ulama telah berselisih pendapat berkenaan hukum menjawab bersin, namun pendapat yang dapat ditarjihkan dari semua pendapat tersebut ialah menjawab bersin itu fardu kifayah apabila ditujukan kepada orang ramai dan fardu ain apabila untuk individu.
Tahukah anda apabila bersin, degupan jangung anda akan terhenti sedetik.... dan setelah anda yakin degupan anda masih terus berdegup, maka ucapkanlah 'Alhamdulillah' kerana anda masih hidup.
Faedah bersin ialah dapat menghilangkan habuk-habuk, debu-debu serta beberapa penyakit dan bersin juga dapat menggambarkan seseorang itu sihat atau sebaliknya.
Sebagai rumusan, bersin yang dituntut menjawabnya ialah apabila orang yang bersin mengucapkan 'Alhamdulillah' dan tidak lebih daripada tiga kali. Sekiranya melebihi tiga kali seseorang itu hendaklah mendoakan kesejahteraannya dan menasihatinya supaya menemui doktor kemungkinan mengidap selsema atau demam.

Tuesday, March 1, 2011

Masa dan Tanggungjawab



الواجبات اكثر من الأوقات

Hari ini genap 2 bulan keje kat pejabat. Rupa-rupanya terlampau beza kesusahannya antara kerja kat sekolah dari kerja di pejabat. Pada sudut waktu memang dah maklum dah. Dulu masuk kerja pukul 1.00 petang dan balik pukul 6.40 petang. Tapi sekarang masuk pejabat pukul 8.00 pagi dan balik 5.00 petang, itu pun kalau tak ada pemenda yang perlu diuruskan. Terasa jugak keletihannya.

Tanggungjawab sekarang lebih berat lagi, terutama nak menyelesaikan tugas-tugas yang sentiasa datang dan datang dan datang. Tak selesai satu kerja nie, dah datang kerja lain. Rasa tak menang tangan dibuatnya.

Maka betullah kata-kata Sheikh Hassan al-Banna, ”tanggungjawab itu lebih banyak dari waktu yang ada”. Kadang-kadang terasa dah tak cukup-cukup waktu yang ada.

Keluhan ini bukan nak mengepek atas apa yang telah dilalui. Tapi mengharap sangat, mudah-mudahan segala kesukaran ini diberi pahala dan lebih mendekat diri kepada Allah Taala.

Perancangan Allah dan perancangan manusia, sesungguhnya Allah adalah sebaik-baik perancangan. Barangkali Allah nak memberi ruang yang lebih baik daripada apa yang pernah dilalui dahulu sebagai guru. Amin...

Wednesday, December 15, 2010

Beberapa Fakta Masjidil Haram

Ilustrasi Masjidil Haram

Masjidil Haram terdapat di dalamnya Kaabah yang menjadi tumpuan hala kiblat seluruh umat Islam ketika mengerjakan ibadat solat.
Kaabah seperti yang diketahui, telah dibina oleh Nabi Ibrahim bersama puteranya Nabi Ismail. Masjidil Haram ketika itu berdinding dan tidak berpintu, dikelilingi hanya oleh rumah-rumah dan ruang kosong antara rumah-rumah itulah pintunya.
Masjid ini telah dibesarkan beberapa kali sehingga dapat menampung lebih kurang 30,000 orang dalam sesuatu masa. Selain memperbesarkan masjid, Kaabah juga pernah diperbaiki kerana kecacatan pada bumbung dan beberapa bahagian dindingnya. Bumbung sebelah atas digantikan dengan yang baru, manakala bumbung sebelah bawah ditukar kayu-kayunya yang telah rosak teruk. Tetapi tidak ada apa-apa tambahan dibuat kepada Kaabah sebagaimana tambahan yang dibuat kepada masjid.


Kaabah ketika pernah dilanda banjir
Pada tahun 17 hijrah, banjir besar telah melanda Masjidil Haram. Lantas Khalifah Umar al-Khatab mengarahkan agar masjid ini diperbesarkan. Baginda telah telah membeli dan merobohkan rumah-rumah sekelilingnya, membina tembok yang rendah dengan beberapa pintu dan memasang lampu.
Selain dari banjir, masjid ini juga pernah mengalami kebakaran pada tahun 839 hijrah yang berlaku di salah sebuah lorong yang menghubungkan ‘Bab Ul-Widak’ dengan ‘Bab Ibrahim’ hingga ke sebelah baratnya, hampir membinasakan seluruhnya dan marak ke utara. Namun kerosakkan ini segera diperbaiki pada tahun itu juga.
Pada tahun 979 hijrah, satu kecacatan telah terdapat dalam bangunan masjid ini, maka Sultan Turki iaitu Sultan Salim mengarahkan diperbaiki seluruhnya. Bangunan yang dilihat pada masa ini dengan menara dan kubahnya berasal dari tahun 984 hijrah iaitu semasa zaman Sultan Murad.
Sebelum ini, orang-orang yang di dalam masjid boleh turun ke bawah melalui tangga ke telaga zam-zam, tetapi lubang tangga ini telah ditutup untuk memudahkan jamaah haji mengerjakan tawaf dan telaga ini hanya boleh temui melalui jalan sebelah luar sahaja.

Tuesday, November 2, 2010

...Pembukaan bacaan Doa...

Ya Allah Ya Karim Ya Wadud
Kami memanjatkan kesyukuran kepadaMu kerana telah mengurniakan kami untuk keturunan yang ramai dan individu yang sihat sejahtera, maka satukanlah hati2 kami dengan rahmat dan kasih sayangMu.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim
Kami memohon kepadamu agar Engkau berkatilah keluarga ini semoga segala usaha yang telah kami lakukan di bumi Allah ini mendapat keredhaan dan hidayahMu. Tidak lupa juga kepada nenek moyang dan mereka yang telah meninggalkan kami agar mereka ditempatkan bersama para anbiya dan aulia di sisi Mu.

Jauhkanlah diri kami dari perasaan dan perbuatan hasad dengki serta penyakit hati yang hanya mendatangkan keburukan pada kami. Peliharalah lisan kami dari menyakiti saudara-saudara kami, peliharalah pancaindera kami dari melakukan maksiat dan segala yang Dikau murkai.

Ya Allah hidupkan kami dalam iman, berilah rezeki kepada kami dari yang halal, tetapkan Iman dan Islam kami, dan matikanlah kami sebagai seorang muslim dan mukmin yang Diredhai olehMu ya Allah.

Ya Allah Antal Ghani Wa Nahnul fuqara’
Jadikanlah anak-anak kami ini sentiasa berusaha dengan gigih dan tekun untuk meningkatkan potensi dan prestasi mereka serta mempunyai budi yang luhur. Malah kami memohon kepadamu Ya Allah dengan penuh rasa penghambaan agar keluarga ini diberi kekuatan dan kecemerlangan menegakkan paksi agama Mu di muka bumi bertuah ini..

...Penutup bacaan doa...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...