Seulas Pinang

Blogger berpendidikan dari SM Izzuddin Shah, Ipoh (1987-1993). Lepasan Universiti al-Azhar Shibin el-Kom, Mesir (1993-1998). Berhasrat berkarya melalui penulisan ringkas, semoga diredhai dan diberkati Allah.

Tuesday, March 9, 2010

Faktor Yang Meringankan Hukuman Undang-undang Islam

Dalam sesi lepas saya telah menyentuh sedikit sebanyak mengenai Undang-undang Jenayah Islam seperti Hudud, Qisas dan Ta'zir.

Ketiga-tiga bentuk hukuman ini, ada kes yang boleh meringankan hukuman. Namun pada dasarnya tiada sesuatu yang tetap di dalam meringankan hukuman bahkan ia berubah mengikut tempat dan keadaan.

Antara faktor yang boleh meringankan hukuman undang-undang Islam ialah :

1. Kemaafan daripada wali darah
Penjenayah yang telah disabitkan kesalahannya mengikut undang-undang qisas, maka kes si penjenayah tidak dijatuhkan hukuman tersebut apabila mendapat kemaafab daripada wali darah si mati.

2. Wanita hamil dan menyusukan anak
Hukuman rejam atau qisas ke atas perempuan yang hamil dan menyusukan anak hendaklah ditangguhkan sehingga perempuan tersebut melahirkan anak dan tamat tempoh menyusukan anak. Dalam sesetengah riwayat berpendapat hukuman sebatan tetap dilaksanakan tetapi menggunakan alat yang lebih ringan.

3. Mencuri berulang kali
Untuk kesalahan mencuri kali pertama dan kali kedua di potong tangan kanan dan kaki kiri, tetapi ulama berbahas mengenai kesalahan mencuri kali ketiga dan keempat. Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat tidak dikenakan hukuman potong tangan maupun kaki tetapi dikenakan hukuman ta'zir sahaja seperti di penjara sehingga bertaubat atau sehingga mati.

4. Orang sakit atau lemah
Sekiranya penjenayah dikenakan hukuman rejam dalam keadaan sakit, hukumannya ditangguhkan sehingga ia sembuh.

5. Hilang anggota untuk dikenakan qisas
Seseorang penjenayah yang hilang anggota yang akan dikenakan hukuman qisas, setengah ulama berpendapat hukumannya diringankan dengan membayar diat.

6. Keraguan
Dalam kes hudud apabila timbul keraguan yang tidak dapat disabitkan kesalahannya, hukuman terhadap penjenayah akan dipertimbangkan. Contoh kes zina yang tidak cukup saksi, maka akan dijatuhkan hukuman ta'zir.

7. Hamba
Hukuman ke atas hamba separuh daripada hukuman orang biasa. Contoh hukuman orang minum arak adalah sebanyak 80 kali sebatan tetapi sekiranya pesalah itu hamba, hanya dikenakan 40 kali sebatan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...