Seulas Pinang

Blogger berpendidikan dari SM Izzuddin Shah, Ipoh (1987-1993). Lepasan Universiti al-Azhar Shibin el-Kom, Mesir (1993-1998). Berhasrat berkarya melalui penulisan ringkas, semoga diredhai dan diberkati Allah.

Monday, November 16, 2009

Kisah-kisah Di Sebalik Ibadah Haji

Saei Dari Bukit Safa ke Bukit Marwah
Tatkala di hati Siti Sarah rasa dukacita, resah dan cemburu kepada madunya Siti Hajar yang juga isteri kepada Nabi Ibrahim, maka dianjurkan kepada Nabi Ibrahim supaya membawa pergi Siti Hajar dari bumi Palestin. Nabi Ibrahim memohon petunjuk dari Allah, lalu mengizinkan baginda membawa Siti Hajar ke mana sahaja yang dikehendakinya. Tiba di suatu tempat di tengah padang pasir tandus yang tiada pokok atau air, Nabi Ibrahim memutuskan untuk meninggalkan Siti Hajar dan anaknya Ismail di situ, kerana baginda akan meneruskan perjalanan menyampaikan risalah Allah. Nabi Ibrahim menerangkan kepada Siti Sarah bahawa pemergiannya adalah dengan perintah Allah dan meminta Siti Sarah bersabar dan menerima setiap perintah Allah kerana segalanya ada hikmah di sebaliknya. Maka pergilah Nabi Ibrahim dengan hati yang sayu meninggalkan anak isteri di tempat yang sunyi dan tandus itu. Beberapa hari kemudian bekalan makanan dan air pula habis, memaksa Siti Hajar meninggalkan anaknya mencari air tatkala ternampak seolah-olah air di tengah padang pasir. Tetapi terpaksa kembali ke anaknya apabila mendengar tangisan yang semakin kuat. Apabila nampak wajah Ismail, semakin lemah Siti Sarah kembali mencari setitis air di padang pasir. Tempat berulang alik Siti Hajar tersebut diabadikan menjadi Safa dan Marwah.

Telaga Zam-Zam
Sesudah letih mencari air, Siti Hajar pulang dan duduk di sisi Ismail. Dia sudah putus asa untuk mencari lagi. Tatkala itu, dia ternampak setumpuk pasir tidak jauh dari tempat itu yang kelihatan basah. Hajar segera mengali pasir yang basah itu dengan tangannya dan ternyata akhirnya air mengalir keluar hasil korekannya itu. Hari ini lubang kecil yang dikorek dengan tangan oleh Hajar itu menjadi sebuah telaga yang terkenal dengan panggilan telaga zam-zam.

Kewujudan Kota Mekah
Dari gerak laku dan perbuatan Siti Hajar dengan Ismail di situlah berpangkalnya beberapa acara dalam amalan haji, sementara air zam-zam pula akhirnya menjadikan tempat itu tempat yang paling sibuk dengan aktiviti perdagangan, persinggahan dan peribadatan yang terkenal di kalangan orang Islam di seluruh dunia iaitu Kota Mekah.

Bukit Rahmah
Selang beberapa tahun kemudian Nabi Ibrahim pulang ke tempat tersebut mencari kembali anak isterinya yang telah ditinggalkan. Akhirnya baginda menemui mereka di atas Bukit Rahmah di tengah Padang Arafah. Sempena pertemuan yang bersejarah itulah maka tempat itu diberikan nama demikian.

Takbir
Tatkala bertemu Nabi Ibrahim akan keluarganya, keadaan itu jauh lebih baik dari keadaan mereka dahulu. Di samping menjadi penguasa telaga Zam-zam, mereka juga memiliki banyak kambing. Maka atas rasa kesyukuran yang amat sangat, bertakbirlah mereka dengan menyebut :
الله اكبر، الله اكبر، ولله الحمد

Bermalam di Muzdalifah
Dalam perjalanan pulang ke telaga Zam-zam itu, mereka berhenti di suatu tempat yang pada hari ini dinamakan Muzdalifah kerana keletihan berjalan mereka pun tertidur seketika. Di tengah-tengah tidur itulah, Nabi Ibrahim bermimpi diperintah oleh Allah supaya menyembelih anaknya Ismail.

Mina
Tatkala Ismail diberitahu tentang perintah Allah itu, beliau akur. Itulah ujian paling besar dari Allah terhadap dua beranak itu. Maka berangkatlah mereka ke suatu tempat yang dinamakan Mina untuk mengerjakan perintah Allah supaya Ismail dijadikan korban.

Melontar Jamrah
Dalam perjalanan itu mereka diuji dengan munculnya syaitan berupa manusia yang cuba menghasut mereka supaya membatalkan pekerjaan yang 'bodoh' itu. Nabi Ibrahim menentang hasutan syaitan itu berulang kali yang hari ini dilambangkan dengan amalan merejam tujuh kali di tiga jamrah semasa kita berada di Mina.

Hari Raya Korban
Apabila tiba di tempat yang di mana korban akan dilakukan , Ismail merebahkan dirinya dan Nabi Ibrahim bersedia hendak meletakkan pisau tajamnya dileher anaknya, Allah memerintahkan malaikat membawa seekor kambing kibas supaya disembelih oleh Nabi Ibrahim mengantikan anaknya itu. Dari peristiwa ini berlaku ibadah korban yang diperintahkan kepada penunai haji dan kaum muslimin seluruhnya.

Kaabah
Suatu ketika Allah telah menurunkan wahyu kepada Nabi Ibrahim supaya mendirikan Kaabah di Mekah bersama dengan anaknya Nabi Ismail. Maka bekerjala kedua beranak dengan tangan mereka sendiri membina rumah Allah di sisi telaga zam-zam yang airnya digunakan untuk membancuh tanah liat dan membuat ketulan-ketulan tanah keras hingga akhirnya terdirilah Kaabah.

Hajar al-Aswad
Binaan itu hampir siap tetapi masih terdapat di bahagian penjurunya yang belum tertutup, sedangkan bahan binaan sudah kehabisan. Mereka pun mencari di keliling dan bertemu dengan seketul batu hitam yang istimewa bentuknya lalu diangkatlah oleh mereka bersama dan ditempatkan di penjuru yang masih kosong itu. Oleh kerana, batu itu yang terakhir yang diletakkan bagi menyempurnakan bangunan yang mulia itu, mereka mengucup batu itu sebagai tanda kegembiraaan. Perbuatan ini diabadikan hingga ke hari ini ketika mengerjakan haji kerana disunatkan mencium Hajr al-Aswad sebagai mengabadikan syariat Nabi Ibrahim dan Ismail.

Tawaf
Kemudian bangunan yang tersergam itu diperhatikan kembali oleh mereka berdua sambil berjalan mengelilinginya. Perbuatan ini diabadikan juga oleh kaum muslimin yang pada hari ini dipanggil tawaf.

Maqam Nabi Ibrahim
Kemudiannya Nabi Ibrahim berhenti sambil merenung hasil kerja tangan mereka, dan dengan rasa penuh kesyukuran baginda berdoa kepada Allah. Tempat baginda berdiri dan berdoa itu dinamakan Maqam Ibrahim (tempat berdirinya Ibrahim) di hadapan Kaabah.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...