Kita dalam menjalani hidup ini jarang sekali malah boleh dikatakan tidak langsung menghitung masa hidupnya. Kebanyakan orang tidak memperhitungkan untung ruginya masa yang telah berlalu tadi.
Dari al-Quran Allah beberapa kali berfirman berkaitan dengan masa dan menegaskan bahawa hidup manusia itu sentiasa dalam keadaan rugi. Kita buat sedikit perincian tentang masa hidup di dunia ini. Adakah betul-betul sempurna atau sebaliknya.
Seorang pemuda yang berumur 20 tahun dan hitung panjang hidup manusia sekitar 70 tahun sahaja. Bermakna 20 tahun hidup pemuda tadi telah berlalu dan baki hidupnya ialah 50 tahun.
Biasanya 10 tahun terakhir hidupnya atau ketika berumur 60 hingga 70 ialah umur fizikal atau badan kita tidak aktif lagi dan jika ditolak 10 tahun umur pemuda tadi tinggallah lagi 40 tahun sahaja lagi.
Secara rasional 40 tahun inilah pemuda tadi menjalani hidupnya, tetapi ingat separuh dari masa 40 tahun ini adalah aktiviti tidur. Jadi, bererti hidupnya tadi tinggal dua puluh tahun sahaja lagi.
Masa yang berbaki 20 tahun ini cuba dijadikan hari, pasti jawapannya 7,300 hari. Maka hari-hari inilah masa pemuda tadi hidup dengan sedar.
Ini baru pemuda yang berumur 20 tahun. Bagaimana dengan kita sekarang ini? Adakah kita sudah cukup persediaan menghadapi kemungkinan yang tiba. Imam as-Syahid Hassan al-Bana mengungkapkan “Tanggungjawab kita adalah lebih banyak daripada waktu kita“.
Ingatlah mencuri masa adalah satu kerugian yang besar dan bertangguh dengan masa itu adalah sama seperti menjemput bala mendatang.
No comments:
Post a Comment